Monday, May 5, 2008

Perisian Prinsip Perakaunan RM21,000?

SAYA seorang bapa kepada seorang pelajar sekolah menengah yang mengambil mata pelajaran Prinsip Perakaunan. Saya juga merupakan seorang Ahli Jawatankuasa PIBG sekolah anak saya yang terletak di Kuala Lumpur.

Saya terkejut apabila mendapat tahu sekolah anak saya dibekalkan satu perisian yang merupakan ‘alat bantu mengajar’ bagi mata pelajaran Prinsip Perakaunan dengan harga RM21,000 bagi sebuah sekolah. Alat ini dibekalkan oleh Kementerian Pelajaran.

Saya terbaca dalam surat khabar yang menyebut terdapat 1,600 buah sekolah yang menawarkan subjek Prinsip Perakaunan.

Sekiranya Kementerian Pelajaran telah membekalkan kepada 1,000 buah sekolah, ini bermakna kementerian telah pun membelanjakan RM21 juta dan jika 1,600 buah sekolah dibekalkan bermakna kerajaan berbelanja RM33.6 juta ‘wang rakyat’.

Jika dibandingkan dengan perisian lain yang terdapat di pasaran yang lebih menjurus kepada pembelajaran Perakaunan yang berharga dalam lingkungan RM500 hingga RM1,000 dan ada juga yang diberi percuma kepada sekolah.

Yang menjadi tanda tanya ialah mengapakah Kementerian Pelajaran memilih alat bantu mengajar untuk satu mata pelajaran yang bukan kritikal seperti Lukisan Kejuruteraan, Fizik, Kimia, Biologi dan Matematik Tambahan?

Pencapaian mata pelajaran Prinsip Perakaunan dalam SPM adalah sangat baik sehingga ramai yang mendapat pangkat ‘A’. Mata pelajaran ini mudah dipelajari.

Guru pula menggunakan cara pengajaran tersendiri dan menggunakan perisian lain yang terdapat di pasaran.

Jadi kenapa perlu diadakan alat bantu mengajar yang tidak diguna pakai oleh guru-guru? Di samping itu, guru-guru yang mengajar mata pelajaran ini selalu dipanggil untuk menambah baik perisian yang bernilai berjuta-juta ringgit ini.

Saya juga tidak faham kenapa Kementerian Pelajaran memilih ‘unit kejuruteraan awam’ untuk mengendalikan projek perisian alat bantu mengajar ini dan bukan ‘unit perdagangan’.

Adakah Prinsip Perakaunan satu mata pelajaran kejuruteraan?

Saya juga menerima maklum balas daripada beberapa guru dari sekolah-sekolah lain dan semua memberitahu mereka tidak guna pakai alat tersebut kerana tidak mempunyai apa-apa kelebihan.

Hakikatnya guru-guru ini tidak berani menyuarakan bantahan terhadap penggunaan perisian tersebut, maklumlah mereka ini pegawai kerajaan.

Soalan akhir, perlukah Kementerian Pelajaran membelanjakan wang yang begitu banyak untuk alat bantu yang tidak menjadi satu keperluan dalam pengajaran dan pembelajaran Prinsip Perakaunan?

– IBU BAPA PRIHATIN,
Kuala Lumpur.


( Sekadar Renungan : Dipetik daripada Ruangan Forum mny.freeforum )