Friday, December 5, 2008

Al Fatihah




Dimaklumkan bahawa En Jubir, Timbalan Pengawai Pelajaran Daerah Kerian telah kembali ke rahmatullah jam 9.20 malam, Jumaat 5 Disember 2008.

Allahyarham adalah seorang yang begitu mengambil berat tentang akademik terutamanya subjek Prinsip Perakaunan dan terlibat dalam Program Penataran Prinsip Akaun Daerah Kerian tempohari.

Pemergian beliau adalah satu kehilangan besar bagi saya ( secara peribadi ) dan juga kepada warga pendidik khasnya.

Semoga Allah sentiasa menjaga dan menempatkan Allahyarham dalam kalangan orang-orang yang beriman dan soleh.

Al Fatihah..

Monday, December 1, 2008

Soalan SPM Prinsip Akaun 2008 - Satu Analogi

Hari ni hari Isnin. Budak-budak kat Kg Matang Gerdu akan dikhatankan beramai-ramai. Semua dah berdebar-debar, termasuklah ibu bapak. Mana taknya... Kang ada yang lari pulak. Jam 8 pagi rasanya tok mudim nak mai.

Tepat jam 8 pagi... bomba pun sampai. Nak buat apa. Bukan ada kebakaran pun. Ular sawa pun tak dak. Mai buat apa. Budak-budak tu terpinga-pinga. Suspen.
Kemudian depa dipanggil untuk berkumpul di kawasan lapang. "Woooshhhh...', air bomba dipancutkan dari paip bomba ke arah depa. Apa lagi, melompat-lompat bebudak tu. "Diorang selalu gelak kat saya, malu dibuatnya", eh, bukan... itu skrip iklan Polident...

Memang seronok dapat mandi ramai-ramai. Lebih2 lagi bomba yang sembur. Depa lupa kejap lagi depa punya nak kena sembelih.

Dalam dok leka mandi-mandi, tok mudim mai. terus ja masuk umah. Tunggu kat dalam.

Lepas mandi, budak-budak tu kena panggil masuk umah. Dok kat ruang tamu. Seronok dok pakat mandi masih terbayang. Okey.... Ng Chiew Fang... eh bukan... ni anak murid aku... dia ni no problem punya.

Ali bin Man.... ( simple je nama ). Zaman sekarang mana ada dah nama macam ni. Paling kurang tiga suku kata. Tu baru nama anak. Nama bapak blum lagi. Ok la... straight to the point... maka Ali ni pun dibawa ke satu bilik.

Saat tu... tok sah cakap la... tengok tok mudim je dengan pisau gunting dia... muka Ali dah pucat... takut, malu, rasa macam nak lari... nasib la zaman la tok mudim pakai ubat bius power punya macam doktor kat klinik... tak la rasa sangat.
Tapi waktu nak suntik ubat bius tu.... arghhh... sakit la jugak..
Lepas sorang-sorang masuk menghadap... Tapi tak dak la sakit sangat macam mak depa nak teran bagi keluaq depa. Tu la.. kalau hati tenang, tak takut, rileks ja. Perit sekejap ja.

Lepas khatan, depa kena usung balik umah. Pakai kain pelekat.

Dok la depa kat umah dalam seminggu sampai baik. Time tu mintak la apa pun. Gerenti mak bapak kata 'ya', 'boleh'.
Abis edah... dapat la depa bonus berkhatan. Zaman sekarang.. hadiah tok sah cakap la... macam-macam.. hebat-hebat. Paling kurang set mainan play station.

Okey habis... lebih kurang macam tu la situasi exam SPM akaun pagi tadi.

Edisi Student
Mula-mula happy sebab soalan dokumen memang mudah, tak macam soalan2 latih tubi yg agak sukar.

Lepas tu masuk soalan 2 dan 3, perghhh... Soalan 2 Akaun Kelab ? Betul ke cikgu... Mana dia soalan penyata dan KKK. Abis la macam ni. Mcm mana nak skor A.

Soalan 3 ni apa pulak cikgu. Penyata Asing Untung Rugi. Apsal bukan soalan 2. Jawab je la.. Jgn peduli dia letak kat mana.

Soalan 4, 5, 6. Eh mana soalan PPBank ckgu... Bila pulak ckgu janji soalan PPBank masuk SPM. Bukan ckgu yang buat soalan.

Ckgu soalan susah la...

Jgn pikir sangat.. Ready untuk kertas 1 pulak...

Eh... apasal soalan kertas 1 senang sangat ckgu...

La.. susah pun bising.... senang pun bising......

Thursday, October 16, 2008

Koleksi Soalan Percubaan Negeri 2008

Koleksi soalan percubaan negeri bagi tahun 2008 boleh dimuat turun dengan klik pada link yang disediakan. Terima kasih kepada Cgu Narzuki kerana telah bertungkus lumus mengumpul soalan-soalan percubaan dan menyediakan tapak untuk akses. Juga tidak lupa ribuan terima kasih kepada semua guru yang telah menyumbang soalan negeri masing-masing.

Friday, September 19, 2008

Soalan Percubaan SPM Negeri Perak

Alhamdulillah.... Peperiksaan Percubaan SPM bagi kertas 1 dan 2 Prinsip Perakaunan baru sahaja selesai. Soalan-soalan yang keluar agak bermutu dan memang menguji kemahiran pelajar.

Kertas 1 pada pendapat saya antara set yang terbaik.
Markah pelajar :

Paling tinggi = 38
Paling rendah= 08
( ni kalau jawab C semua pun boleh dapat 12 )
Purata markah = 25

Kertas 2 pulak....

Soalan 1: Dokumen
Tak la susah.. tapi ada pelajar yang buat sampai abis masa... atau memang soalan yg lain tak tau jawab. Ni la problem bila ngajar sekolah luar bandar. Ada bebudak yg bermasalah... yg import dari sekolah lain pun ada... takat tu je boleh buat...

Soalan 2: Penyata Pendapatan Milikan Tunggal.
Pun ok jugak. Tapi bab kira susut nilai baki berkurangan masih ada pelajar yg tak leh buat.
Kira ikut garis lurus jugak.
Skema pulak ikut baru punya.. susah la sikit nak score macam ni bg bebudak lemah.

Soalan 3: Akaun Kelab ( Yuran )
Mencabar gak (bagi beberapa budak lemah akaun sekolah ni kira susah la nak buat. Sebab kena kira hasil dan belanja sebenar-akaun kawalan-belian. ). Tapi rasanya soalan jenis mcm ni la yg LCCI nak tu... Kena keja lebih la pulak lepas ni... bagi kau2 punya.

Soalan 4: Persamaan Perakaunan.
Yg ni punya la senang... tapi masih ramai yg tak buat. Tak sempat ke atau tak dpt gambaran mcm mana nak buat...
Penat...penat...

Soalan 5: Akaun Pengeluaran
Direct je soalan. Mungkin saja nak bagi markah mudah utk pelajar yg buat.

Soalan 6: Penyata Penyesuaian Bank
Yg ni memang kalau tak buat tak tau la.. ckgu dah pesan suruh buat dan siap bagi lagi contoh soalan sebelum exam buat ramai2.
Tapi kalau masih tak reti... jgn risau lepas ni ckgu tunjuk power point formula nak buat semudah ABC.

Apa2 pun ambik ikhtibar kalau dpt markah rendah tak seperti yg dijangkakan.
Ingat dalam exam memang mcm2 boleh berlaku. tak ingat la... confius la... tak sempat la... tu memang alasan2 yg popular..

Ok adios...

Thursday, September 11, 2008

Ramadhan - Bulan Kerahmatan



Salam Ramadhan Al-Mubarak Untuk Semua


Thursday, August 21, 2008

Peperiksaan Prinsip Perakaunan 2008

TARIKH : 1 DISEMBER 2008 (ISNIN)
KERTAS 2 : 8.00 hingga 10.30 pagi
KERTAS 1 : 11.10 hingga 12.25 tgh.

Friday, June 27, 2008

Taklimat Penataran Prinsip Perakaunan SPM 2008 Daerah Kerian

Panitia Prinsip Perakaunan Daerah Kerian dengan kerjasama Pejabat Pelajaran Daerah telah menganjurkan Taklimat Penataran Prinsip Perakaunan SPM 2008 kepada semua guru perakaunan Daerah Kerian pada 26 Jun 2008 yang bertempat di PKG SK Bagan Serai. Seramai 24 guru telah hadir. Taklimat telah disampaikan oleh Pn Hjh Kasriyah daripada SMK Raja Lope Nor Rashid, Tjg Piandang. En. Jubir, Timbalan Pegawai Pelajaran Kerian, juga telah hadir bagi memantau perjalanan program ini.

Taklimat ini bertujuan memberi gambaran tentang perubahan-perubahan yang akan diadakan berkaitan sukatan pelajaran dan format kertas peperiksaan Prinsip Akaun SPM.

Soalan pada tahun ini terdapat sedikit perubahan ekoran daripada Program dua pensijilan yang baru diperkenalkan, iaitu Sijil Kebangsaan dan Sijil Profesional yang telah dibuat MoU dengan ACCA dan LCCI.

Dalam usaha menaiktaraf kelulusan Prinsip Perakaunan SPM ke peringkat lebih profesional, maka beberapa perubahan akan dibuat terhadap soalan pada tahun ini. Di mana GAYA PENYOALAN yang digunakan berlainan sedikit berbanding dengan soalan tahun-tahun lepas. Penilaian dan PEMBERIAN MARKAH juga turut berubah mengikut cara pemarkahan LCCI, di mana penekanan diberikan kepada KEMAHIRAN PERAKAUNAN, seperti kemahiran catatan pelarasan dan pengiraan hendaklah ditunjukkan dalam kertas jawapan.

Semoga usaha menaiktaraf ini, menjadikan Sijil Perakaunan SPM setanding dengan Sijil Profesional Perakaunan lain yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.

Bahan Taklimat Penataran ini bolehlah dimuat turun di bahagian Bahan Taklimat Permata 2008.

Sekian, Terima kasih.

Monday, May 5, 2008

Perisian Prinsip Perakaunan RM21,000?

SAYA seorang bapa kepada seorang pelajar sekolah menengah yang mengambil mata pelajaran Prinsip Perakaunan. Saya juga merupakan seorang Ahli Jawatankuasa PIBG sekolah anak saya yang terletak di Kuala Lumpur.

Saya terkejut apabila mendapat tahu sekolah anak saya dibekalkan satu perisian yang merupakan ‘alat bantu mengajar’ bagi mata pelajaran Prinsip Perakaunan dengan harga RM21,000 bagi sebuah sekolah. Alat ini dibekalkan oleh Kementerian Pelajaran.

Saya terbaca dalam surat khabar yang menyebut terdapat 1,600 buah sekolah yang menawarkan subjek Prinsip Perakaunan.

Sekiranya Kementerian Pelajaran telah membekalkan kepada 1,000 buah sekolah, ini bermakna kementerian telah pun membelanjakan RM21 juta dan jika 1,600 buah sekolah dibekalkan bermakna kerajaan berbelanja RM33.6 juta ‘wang rakyat’.

Jika dibandingkan dengan perisian lain yang terdapat di pasaran yang lebih menjurus kepada pembelajaran Perakaunan yang berharga dalam lingkungan RM500 hingga RM1,000 dan ada juga yang diberi percuma kepada sekolah.

Yang menjadi tanda tanya ialah mengapakah Kementerian Pelajaran memilih alat bantu mengajar untuk satu mata pelajaran yang bukan kritikal seperti Lukisan Kejuruteraan, Fizik, Kimia, Biologi dan Matematik Tambahan?

Pencapaian mata pelajaran Prinsip Perakaunan dalam SPM adalah sangat baik sehingga ramai yang mendapat pangkat ‘A’. Mata pelajaran ini mudah dipelajari.

Guru pula menggunakan cara pengajaran tersendiri dan menggunakan perisian lain yang terdapat di pasaran.

Jadi kenapa perlu diadakan alat bantu mengajar yang tidak diguna pakai oleh guru-guru? Di samping itu, guru-guru yang mengajar mata pelajaran ini selalu dipanggil untuk menambah baik perisian yang bernilai berjuta-juta ringgit ini.

Saya juga tidak faham kenapa Kementerian Pelajaran memilih ‘unit kejuruteraan awam’ untuk mengendalikan projek perisian alat bantu mengajar ini dan bukan ‘unit perdagangan’.

Adakah Prinsip Perakaunan satu mata pelajaran kejuruteraan?

Saya juga menerima maklum balas daripada beberapa guru dari sekolah-sekolah lain dan semua memberitahu mereka tidak guna pakai alat tersebut kerana tidak mempunyai apa-apa kelebihan.

Hakikatnya guru-guru ini tidak berani menyuarakan bantahan terhadap penggunaan perisian tersebut, maklumlah mereka ini pegawai kerajaan.

Soalan akhir, perlukah Kementerian Pelajaran membelanjakan wang yang begitu banyak untuk alat bantu yang tidak menjadi satu keperluan dalam pengajaran dan pembelajaran Prinsip Perakaunan?

– IBU BAPA PRIHATIN,
Kuala Lumpur.


( Sekadar Renungan : Dipetik daripada Ruangan Forum mny.freeforum )

Wednesday, April 30, 2008

Cemerlang 1A dan 2A Prinsip Akaun dapat keistimewaan

PELAJAR CEMERLANG SPM DAPAT PENGECUALIAN CAT
Wednesday 12/03/2008
KUALA LUMPUR, 12 MAC - Kementerian Pelajaran Hari Ini Dengan Rasminya Mengumumkan Pelajar Yang Memperolehi Keputusan 1A And 2A Dalam Subjek Prinsip Akaun Dalam Peperiksaan SPM Baru-baru Ini Akan Mendapat Pengecualian Peperiksaan Bagi CAT (Certified Accounting Technician).

CAT adalah program asas bagi kelayakan Profesional ACCA. Program ini merupakan langkah pertama untuk mendapatkan kelayakan profesional ACCA dan untuk menadi akauntan bertaraf dunia.

Pelajar yang berjaya memperolehi keputusan 1A dan 2A in Prinsip Akaun akan mendapat pengecualian CAT untuk Kertas 'Recording Financial Transactions'. Dengan pengecualian ini, pelajar SPM berpeluang untuk menamatkan pengajian CAT dan ACCA dengan lebih cepat memandangkan silibus SPM diiktiraf antarabangsa. Terdapat 9 subjek yang perlu dilengkapi bagi kelayakan CAT.

Tahun lalu, ACCA telah menandatangani memorandum persefahaman dengan Kementerian Pelajaran sebagai usaha berterusan untuk menambah baik kurikulum dan piawaian terhadap sistem pelajaran negara.

ACCA amat berbesar hati dapat menyokong usaha kerajaan untuk meningkatkan kualiti pendidikan negara, terutamanya untuk memastikan silibus pendidikan negara adalah relevan dengan keperluan industri.

Kerjasama seumpama ini dengan Kementerian Pelajaran adalah yang pertama bagi ACCA di dunia. Ini menunjukkan pengiktirafan antarabangsa bagi sistem pendidikan Malaysia daripada badan perakaunan antarabangsa.

“Bagi ACCA, inisiatif untuk mengkaji semula silibus Prinsip Perakaunan SPM dan menjadikan standard antarabangsa sebagai pengukur, merupakan satu usaha yang bervisi jauh. Inisiatif seperti ini akan membuka peluang lebih ramai pelajar Malaysia untuk memilih perakaunan sebagai karier pilihan,” kata Teo Ee Seng, Ahli Jawatankuasa Majlis Penasihat ACCA Malaysia.

“Standard peperiksaan CAT pada peringkat akhir sebenarnya sama taraf dengan peperiksaan Tahun Pertama untuk kursus Ijazah dari UK,” jelas Teo lagi.


Nota kepada editor

1. The Association of Chartered Certified Accountants (ACCA) merupakan pertubuhan perakaunan profesional yang terbesar di dunia, dengan 115,00 orang ahli dan 296,000 pelajar di 170 buah negara.
2. Kebanyakan pelajar di Malaysia mengikuti pengajian CAT selepas SPM. Selapas tamat pengajian CAT, pelajar mempunyai pilihan untuk terus bekerja atau menyambung pengajian kelayakan professional ACCA untuk menjadi akauntan dan professional dalam bidang kewangan
3. Kini terdapat lebih 6,000 pelajar sedang mengikuti pengajian ACCA di Malaysia. Malaysia menduduki tempat ke-2 di dunia dari segi jumlah pelajar teramai mengikuti pengajian CAT.


DIKELUARKAN OLEH ACCA


Untuk keterangan lanjut:

Ainul Ibrahim
Pengurus, Komunikasi Korporat
+(603) 2713 5051ext: 17, 019-2869068
ainul.ibrahim@my.accaglobal.com

TARIKH SIARAN: 12 MAC 2008
DISIARKAN OLEH, BERNAMA PERHUBUNGAN MEDIA & PENGURUSAN ACARA

Mesyuarat Permata P Akaun Kerian 2008

Mesyuarat Permata Panitia Prinsip Perakaunan Daerah Kerian kali pertma tahun 2008 telah diadakan seperti berikut:

Tarikh: 30 April 2008
Waktu: 2.45 petang
Tempat: SMK Mudzaffar Shah, Spg Empat Semanggol, Perak.

Mesyuarat telah dipengerusikan oleh Pn Azilah Ibrahim, guru kanan kemanusiaan SMK Mudzaffar Shah. Senarai guru-guru yang hadir:


1. Ng Li Koon SMK Kuala Kurau
2. Theh Sew Eim SMK Sri Kurau
3. Khasriyah Musa SMK Raja Lope Nor Rashid
4. Hasnah Hussein SABAR
5. Fauziah Ali SMKA
6. Rapidah Hasan SMK Bagan Serai
7. Salbiah A Hamid SMK Pekan Baru
8. Faridah Ismail SMK Methodist
9. Rosliana Saif SMK Krian
10. Faridah A Rahman SMK Alang Iskandar
11. Saharum Din SMK Alor Pongsu
12. Zahari Mahamad SMK Panglima
13. Maisarah Ahmad SMK Mudzaffar Shah
14. Shamsol Kahar Shafie SMK Mudzaffar Shah.


Isu yang dibincangkan antaranya adalah berkenaan Kursus Teknik Menjawab dan juga perkembangan program Asset Base.

Di samping itu juga, ada guru-guru bertanyakan tentang sumber soalan-soalan dan bahan-bahan yang boleh digunakan.

Oleh itu jika ada guru-guru yang ingin mnyumbang soalan ataupun bahan yang berkaitan, bolehlah hantar kepada saya menerusi e mail. ( sfzc06@yahoo.com ). Mungkin melalui ruangan ini kita akan dapat berkongsi maklumat.

Sekian.

Tuesday, April 22, 2008

Salam Pengenalan

Blog ini diwujudkan bertujuan untuk perkongsian maklumat dan juga untuk memberi ruang kepada para pembaca mengajukan soalan. Di samping itu juga disediakan ruang perbincangan ( chating ) dan link untuk rujukan.

Semoga blog ini bermanfaat untuk kita semua..